MPPUM: Pro-M setuju tubuh kabinet campuran
MPPUM: Pro-M setuju tubuh kabinet campuran


Kumpulan pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menyambut baik kesediaan kumpulan pro-Aspirasi yang kini dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa, untuk membentuk 'kabinet' campuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi tahun ini.

Pengerusi pro-Mahasiswa, Norazali Zainuddin berkata ia adalah satu langkah yang baik bagi mengelakkan persengketaan sesama sendiri.

"Kita berlapang dada dengan tindakan mereka untuk membentuk kerajaan campuran, walaupun masing-masing membawa agenda yang berbeza," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak berhenti bertegang urat kerana apa yang diperjuangkan adalah untuk membawa perubahan dan suara mahasiswa.

Semalam dilaporkan, Penggerak Mahasiswa bersedia memberi kerjasama kepada pro-Mahasiswa untuk menubuhkan 'kabinet' campuran dalam Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM) sesi kali ini.

Jurucakapnya, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ali dilaporkan berkata pihaknya reda dengan kegagalan kumpulannya untuk mengekalkan penguasaannya selama lima tahun dalam pilihanraya kampus kali ini.

Katanya, walaupun pihaknya mendapat 20 kerusi manakala pro-Mahasiswa pula mendapat 19 kerusi, tetapi dari segi undi popular dan penguasaan kerusi umum, ia memihak kepada lawan mereka. Calon bebas turut memenangi dua kerusi fakulti.

Pro-Mahasiswa berjaya menambah lapan lagi kerusi, berbanding11 kerusi yang dimenangi mereka sesi yang lalu.

Penubuhan MPPUM


Mengulas perkara tersebut, Norazali juga mengesahkan salah seorang calon umumnya, Mohd Ridhuan Mohamad telah dihubungi Wan Mohd Hafiz yang menyatakan kesediaan mereka untuk bersama pro-Mahasiswa dan calon bebas membentuk kabinet campuran.

Bagaimanapun, kata Norazali, pihaknya masih belum menetapkan tarikh perjumpaan dengan dengan Penggerak Mahasiswa dan calon bebas berhubung pembentukan kabinet campuran itu.

Mengulas calon yang dipertua MPPUM, beliau berkata, ia akan dibincangkan dalam perjumpaan itu nanti.

"Yang pasti calon tersebut daripada calon umum pro-Mahasiswa yang berkelayakan.

"Ini kerana undi di peringkat kerusi umum mencermin undi, sokongan dan kepercayaan keseluruhan mahasiswa," katanya.

Dalam pilihanraya kampus kelmarin, jumlah kerusi umum yang dimenangi pro-Mahasiswa bertambah enam kerusi lagi, berbanding dua kerusi yang dimenanginya tahun lalu.

Enam daripada lapan calon pro-Mahasiswa bagi kerusi umum, menang dengan mendapat undi lebih daripada 5,000 undi.

Menurut Norazali lagi, pihaknya kini masih menunggu dihubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Mohd Ridhuan supaya mendesak HEP mempercepatkan pembentukan kabinet MPP.
-Abdul Rahim Sabri
0 Responses