tazkirah>> tanda-tanda sifat sombong 22/11/09 =)

TANDA-TANDA SIFAT SOMBONG

Langkah-langkah untuk mengenal pasti adanya penyakit ini
ialah melalui pergaulan sesama manusia. Melalui pergaulan,
akan dapat dikesan sifat sombong sama ada sombong yang
keterlaluan, sederhana atau ringan.

Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat sombong?
Di antaranya:

1. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya
merasakan pandangan orang itu lebih baik daripadanya.
Apatah lagi kalau pandangan itu datang daripada orang
yang lebih rendah daripadanya sama ada rendah umur,
pangkat atau lain-lain lagi.

2. Mudah marah atau emosional. Bila berlaku perbincangan
dua hala, cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada
orang tersilap atau tersalah.

3.. Memilih-milih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang
yang satu 'level' atau sama taraf dengannya. Manakala
dengan orang bawahan atau lebih rendah kedudukannya,
dia tidak suka bergaul atau bermesra, takut jatuh status
atau darjat dirinya. Bahkan dengan orang yang sama level
dengannya pun masih dipilih-pilih lagi. Yakni dia suka
dengan orang yang mahu mendengar dan mentaati katakatanya.
Mereka inilah saja yang dia boleh bermesra, duduk
sama atau semajlis dengannya.

4. Memandang hina pada golongan bawahan.

5. Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka
meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada
yang diperlukan.

6. Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil
perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihaknya sendiri, susah
untuk mendengar cakap atau nasihat orang lain serta tidak
prihatin dengan cakap orang. Apatah lagi untuk mengikut
cakap orang lain.

7. Dalam pergaulannya, dia saja yang memborong untuk bercakap
dan tidak suka memberi peluang kepada orang lain
bercakap.. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong
percakapan orang itu.
8. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan
keras terhadap pengikut-pengikutnya atau orang bawahannya.
Ia membuat arahan tanpa timbang rasa dan tidak ada
perikemanusiaan. Kalau dia menjadi pengikut, susah pula
untuk taat dan patuh pada pemimpinnya.

9. Susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap
dengannya. Bahkan ditengking-tengking, diherdik,
dikata-kata atau dihina-hina. Di belakangnya diumpatumpat.

10. Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta
maaf. Rasa jatuh wibawa bila merendah diri meminta maaf.
Bahkan dia tidak mengaku bersalah.

11.. Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati. Tetapi
dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang
lain.

12. Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya bila
orang itu tersilap.

13. Suka menzalimi orang sama ada secara kasar atau secara
halus.

14. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana
perlukan orang itu atau kerana takutkan orang itu.

15. Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat,
memfitnah serta membenci orang.

16. Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai
pemberian orang lain.

17. Suka mengangkat-angkat diri atau menceritakan kelebihan
diri.

18. Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan
orang lain.

19. Kurang menghormati nikmat-nikmat Allah. Kalau ada
makanan, berlaku pembaziran atau membuang makanan
yang berlebihan. Kalau ada pakaian walaupun masih elok
dipakai tetapi suka berganti dengan yang baru. Pakaian
yang lama dibuang. Kalau ada duit lebih, suka beli barang
yang tidak diperlukan. Semua itu lebih digemari daripada
memberi nikmat yang berlebihan itu kepada orang lain.

20. Kalau berdiri, lebih suka bercekak pinggang (kerana membesarkan
diri). Kalau bercakap, menepuk-nepuk meja dan
suka mencemik. Kalau berjalan suka bergaya, menghentakhentak
kaki atau berjalan membusung dada.

21. Kurang memberi simpati atau kurang menolong orang
lain melainkan ada tujuan-tujuan dunia atau kerana takut
dengan orang itu.

22. Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka jadi tetamu
orang.

23. Tidak suka menyebut kelebihan-kelebihan orang lain kerana
takut mencabar dirinya.

24. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan
kesalahan sendiri didiamkan, disorokkan, buat-buat
tidak tahu atau cuba mempertahankan diri supaya orang
menganggap dia tidak bersalah.

25. Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kebolehan orang
lain.

26. Dia sangat tersinggung kalau ada orang memuji-muji atau
menyebut kelebihan-kelebihan orang lain di hadapannya.
Tetapi kalau dia dipuji, terserlah pada air mukanya rasa
bangga dan senang hati..

Senarai tanda-tanda, riak-riak atau sikap-sikap di atas sudah
cukup jelas untuk kita dapat mengenali sifat sombong ini. Bila
sudah dikenal pasti ertinya memudahkan kita mengatasi atau
mencabut sifat keji ini.

SEBAB-SEBAB SOMBONG

Sebelum mencabut sifat sombong yang keji ini perlu kita tahu
kenapa sifat ini boleh berlaku. Ini juga merupakan faktor pembantu
untuk memudahkan kita mengikis sifat ini. Macamlah
jerawat yang ada di pipi. Kalau kita kenal tanda jerawat, kemudian
tahu kenapa boleh timbul jerawat, barulah mudah untuk
kita mengubat jerawat itu.

Faktor-faktor penyebab yang menjadikan seseorang itu
memiliki sifat-sifat sombong, di antaranya ialah:

1. Memiliki kuasa, sama ada dia memiliki kuasa besar atau
kecil. Kuasa besar itu seperti jadi raja, presiden, perdana
menteri, gabenor dan lain-lain lagi. Kuasa kecil seperti
jadi pegawai, D.O., penghulu, guru besar, guru-guru dan
lain-lain lagi. Kuasa yang ada itu mendorongnya menjadi
sombong.

2. Mempunyai ilmu pengetahuan sama ada pengetahuan
tentang dunia atau pengetahuan tentang Akhirat. Sama ada
pengetahuan di banyak bidang atau di satu bidang. Ini jadi
pendorong seseorang itu menjadi sombong kerana dia rasa
lebih pandai daripada orang lain.

3. Mempunyai harta kekayaan. Harta juga mendorong seseorang
itu menjadi sombong.

4. Mempunyai kegagahan iaitu orang yang mempunyai kekuatan
fizikal atau mempunyai kepandaian dalam mempertahankan
diri seperti tinju, gusti, tae kwan do, silat dan
lain-lain lagi. Ini juga mendorongnya menjadi sombong.

5. Keturunan. Ada orang jadi sombong kerana berketurunan
bangsawan, berketurunan ulama dan lain-lain lagi, lantas
merasa diri mulia serta memandang orang lain hina berbanding
dengan dirinya.

6. Sebab-sebab yang lain seperti berwajah tampan dan cantik,
disayangi oleh orang besar, disayangi suami, disayangi oleh
ibu ayah dan lain-lain lagi. Ini juga pendorong menjadi
sombong.

7. Bukan sebab-sebab yang di atas tadi, tapi mungkin dia
orang miskin atau orang jahil atau orang hodoh atau orang
cacat atau orang lemah sedangkan dia tetap sombong. Ini
dikatakan bodoh sombong. Orang ini walaupun tidak ada
sebab khusus untuk dia berlaku sombong tetapi oleh kerana
benih sifat sombong yang semula jadi ada dalam diri itu
tidak terdidik dan tidak cuba untuk dikikisbuangkan atau
tidak dicabut, bahkan disuburkan, maka tetaplah dia dengan
sikap sombongnya. Golongan yang sombong di taraf ini
bilamana tidak sedar atau tidak kenal dirinya yang sebenar,
inilah yang jadi pendorong dia bersifat sombong.

Kalau begitu ada golongan manusia yang sombongnya bersebab
dan ada pula golongan manusia yang sombongnya tidak
bersebab. Tetapi kebanyakan manusia itu sombongnya bersebab,
seperti yang disebutkan di atas tadi. Bersebab atau tidak, sifat
sombong tetap mesti dicabut dan dibuang. Jika tidak, ia akan
memberi kesan yang buruk di tengah kehidupan masyarakat.
Cantik>> Bandar bawah bukit di Sepanyol (00,) 20/11/09
Keindahan alam ciptaan Allah... (sepanyol)

wujudkah sebegini di Malaysia...?

hehe..cm ner laa gamak nye ye...=) siling depa guna ape ea

terfikir dr sg struktur plak cm ner...

ohhh ho... sungguh menyeramkan....

subhanaallah...so beautifulll =)

nice picc=) yakini kekuasaan Allah..

tazkirah>> nikmati pelangi cinta (00,) 16/11/2009
Tidak akan diketahui kecintaan seseorang sehingga tiba saat berpisah. Tidak diketahui kesabaran seseorang sehingga tiba masanya dia patut marah.

Dan tidak diketahui keberanian seseorang sehingga tiba waktu berperang. Demikan kata pendita. Benar, cinta yang lama (setelah usia perkahwinan meningkat) hanya akan bergetar semula bila berpisah.

Perpisahan yang sekali-sekala akan menyuburkan percintaan. Tetapi jangan terlalu lama, justeru jika terlalu lama ia mengundang bahaya kerana ia boleh mengundang fitnah dan mampu menghakis setia.

Jika sayangkan anak tangan-tangankan, mungkin sayangkan isteri perlu ditinggal-tinggalkan. Dan dalam kehidupan pejuang agama dahulu, kini dan akan datang, perpisahan memang sudah menjadi “mainan”.

Walaupun, mungkin ada yang melihat perpisahan dikalangan suami isteri yang berkahwin itu satu yang memedihkan, tetapi ia sebenarnya baik untuk menyuburkan rasa cinta. Maksud saya bukan berpisah kerana bercerai tetapi berpisah kerana berjauhan oleh sesuatu urusan atau tugasan.

Jangan terus-terusan “berkepit” di rumah. Manusia tidak boleh lari daripada rasa jemu. Oleh itu para suami harus keluar dalam tempoh tertertu dan pada pada waktu-waktu tertentu tanpa rasa berat hati, enggan atau malas. Lebih-lebih lagi atas tujuan dakwah, kebajikan dan membuat kebaikan. Bukankah itu hak Allah atas kita? Janganlah hendaknya kerana terlalu cinta isteri sehingga kita mengabaikan cinta Allah.

Sayidina Abu Bakar pernah mengarahkan anak lelakinya menceraikan isteri yang baru dikahwininya apabila didapati anak lelakinya itu sudah jarang keluar solat berjemaah di masjid sejak berkahwin. Sudah menjadi tradisi para sahabat Rasulullah SAW dan baginda sendiri, keluar daripada kota Madinah sama ada untuk berperang atau berdakwah. Dan tentunya sahaja ini memaksa mereka sering berpisah dengan isteri mereka.

Percayalah kekadang Allah menghilangkan seketika mentari, kemudian DIA datangkan guruh dan kilat. Puas kita meratap di mana serinya mentari… rupa-rupanya Allah ingin mengurniakan pelangi yang indah. Oh, itu rupanya hikmah berpisah. Cinta akan menjadi lebih indah!

Kalau dahulu, dengan bermusafir ertinya terjadilah perpisahan secara total, kerana pada masa itu tidak ada lagi alat-alat komunikasi seperti hari ini, maka sekarang keadaan sudah berbeza. Sudah banyak alat untuk berhubung walaupun berjauhan lama atau seketika. Jadi, apa salahnya semua alat itu dimanfaatkan untuk “meredakan” rasa rindu yang pasti melanda dengan syarat, perhubungan itu tidak merosakkan atau mengganggu tugasan dan tanggung jawab semasa di perantauan.

Malah kadangkala tempoh berjauhan seperti itu, yakni semasa hati dan emosi sangat lembut sekali, adalah ketika yang paling sesuai dimanfaatkan untuk mendidik isteri (selain anak-anak). Berbicara dari jauh kekadang lebih mendekatkan. Benar sekali kata pepatah, “jauh-jauh berbau bunga.” Ingat, cinta kadangkala menjadi lebih subur dikejauhan berbanding berdekatan.

Di kejauhan kekadang kebaikan, kejelitaan dan kesetiaan isteri kita akan lebih terasa. Bukankah terlalu dekat ada kalanya menjadikan kita buta? Ramai suami yang asyik memarahi isterinya bila bersama, tetapi apabila isterinya itu meninggal dunia, maka dialah yang paling banyak meratap, menangis sayu kerana rindu dan cintakannya.

Apa yang ada sering dilupakan, apa yang tiada sering didamkan. Itulah ungkapan untuk membayangkan sifat manusia ketika berdepan dengan nikmat jasmani dan itulah juga sifatnya bila berdepan dengan nikmat rohani termasuk soal cinta. Jadi, bila berjauhan ertinya kita “hilang” seketika akan dirinya, maka sudah tentulah ini akan menyerlahkan semula cinta yang selama ini terpendam. Oh, rupanya cinta itu masih ada, malah masih membara dan menyala.

Kalau ada yang bertanya, mengapa ketika berjauhan bukan dia yang dikenang? Sudah hampir sepurnama bermusafir, tetapi wajah isteri yang ditinggalkan tidak juga muncul-muncul dalam ingatan, doa dan kerinduan… Oh, itu petanda kurang baik. Mungkin cinta itu bukan terpendam, tetapi sudah terpadam. Jika ada cinta, pasti ada rindu. Jika ada rindu pasti ada keinginan – ingin bertemu, berbual, bermesra dan sebagainya. Tetapi jika semua itu sudah tidak ada, ah khuatir saya, mungkin cinta itu sudah tidak ada!

Untuk anda saudara ku, mari seketika ku ajak kembara bersama sepucuk surat cinta ini…

Ke ribaan isteriku yang tersayang…Sayang, aku tenang di sini kerana ku yakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana. Hentikan tangisanmu di sana. Demi ketenanganku di sini. Yakinlah, perpisahan sebenar bukan kerana jaraknya destinasi. Tetapi oleh retaknya hati.

Perpisahan ini, insya-Allah akan menyuburkan cinta… sekiranya kita menerimanya sebagai satu didikan Allah. Yakinlah, kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis. Perpisahan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Semoga perpisahan ini menguatkan jiwaku. Tiadalah ubat jiwa yang paling mujarab kecuali mencintai Allah. Dan dengan cinta itu nanti semuga kita saling menyintai kerana Allah – cinta yang lebih suci.

Kita dipaksa berpisah untuk “dijemput” ke daerah tauhid dan syariat-Nya. Selama ini kita terlalu banyak berlakon-lakon dan bermain-main dengan pelbagai alasan dan kemalasan. Aku pasrah dengan “paksaan” ini walaupun suntikannya terlalu sakit, ubatnya pahit.

Sayangku,
Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu.

Ya Allah…
Ampunilah dosa-dosa isteriku dan memaafkan semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya… dengan Kau suburkan selalu dihatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin, berharap terhadap-Mu.

“Ya Rahim…
Berilah dia kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak-anak kami. Agar ditangannyalah nanti tertempa zuriat yang soleh dan solehah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya, hukumannya dan segala-galanya dengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.”

“Ya Rahman…
Maniskanlah akhlak isteriku semanis wajahnya. Hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran dan kelembutan, seperti Kau telah hiasi matanya dengan kecantikan. Berilah kecantikan dan keindahan hakiki dengan limpahan taqwa yang sejati.”

“Ya Rabbi…
Lembutkan hati isteriku agar mudah ia mengadu-ngadu pada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta pada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih pada-Mu. Hancur dan remuk-redamlah dirinya dalam menerima didikan-Mu kerana di situlah pengiktirafan dia sebagai hamba-Mu.”

Sayang,
Ramai pasangan berpisah kerana putus cinta. Namun lebih ramai yang terpisah kerana terlalu cinta. Bila cinta makhluk membelakangi cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta sesamanya. Ia akan layu, kesepian dan keseorangan. Pada cinta yang ilusi begini… pertemuan adalah perpisahan. Tapi bila cinta itu cinta hakiki, berpisahkanpun masih bertemu.

Justeru, perpisahan ini untuk menyelamatkan. Perpisahan ini adalah mehnah yang akan menguatkan kembali ikatan perkahwinan. Ia adalah satu “reaksi berantai” kepada semua yang ada ikatan dengan kita. Agar semuanya bergantung dengan ALLAH semata. Jangan kita bergantung dengan selain-Nya.

Makhluk yang terhubung atas nama suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, saudara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan pergi jua. Sesungguhnya, perpisahan adalah cara Allah “mencantas” pergantungan hati kita dengan yang bernama suami, isteri, ibu, bapa, anak dan saudara.

Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila. Ketika itu jika hati tidak bersedia… pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat, kecewa untuk meneruskan hidup. Dan paling khuatir, terhakis iman, tercalarnya tauhid.

Sayang… bergantunglah pada Allah kerana hubungan kita dengan-Nya tidak akan dipisahkan istilah janda, duda dan yatim. Sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak dapat tidak, pasti diputuskan oleh MATI. Justeru… anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti datang.

Syukur … kerana dahulu pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau kalau salah seorang daripada kita dipanggil pulang oleh Allah? Apakah ketika itu hati akan redha? Ah, lantaran benci merasainya, fikiran dikunci daripada memikirkannya…. Padahal itu sudah pasti. Oh! Tuhan, benci betul rupanya kita kepada mati.

Angkuh betul kita dengan ‘milik’ pinjaman Allah ini. Seolah-olah isteri, suami, anak-anak dan lain-lain itu benar-benar kepunyaan kita. Terlalu berat untuk memulangkannya. Sebab ‘memulangkannya’ bererti berpisah!

Tidak sanggup kita “pulangkan” kembali bila tarikh pulangnya sudah tiba. Kini, alhamdulillah, pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara… aku diserahkan kembali olehmu, dan kau diserahkan kembali olehku kepada-Nya.

Didikan ini sangat mahal harganya. Inilah intipati iman kita kepada satu ayat Quran yang sangat pendek:
“Sesungguhnya kita kepunyaan Allah, dan kepada Allah kita akan dikembalikan.”
Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini. Namun jangan sekali-kali terputus dari berharap sesuatu yang terbaik.

Doaku dan doamu pasti dicelahi oleh rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi padamkanlah segalanya dengan satu keyakinan bahawa ia pasti diperkenankan. Amin. Yang penting… bukan diperkenankan atau tidak, tetapi semoga Allah tingkatkan kesabaran, keimanan dan tawakal kita menghadapi apa jua takdir-Nya.

Isteriku, jangan dipinta ringankan ujian, tetapi pintalah ‘beratnya’ iman untuk menghadapi ujian itu!
tazkirah>> kembara cinta telah bermula.. 14/11/09
Sudah mula berbondong-bondong manusia ke sana. Membawa hati yang lara mencari cinta. Walaupun tanahnya gersang, tetapi hati manusia yang menuju ke sana sentiasa basah dengan rindu dan cumbu. Kami datang, kami datang… Semuanya menyeru untuk bertemu dan bertamu. Tetamu-tetamu Allah itu pasrah menyerahkan segalanya, meninggalkan semua demi bertemu-Nya.

Di kejauhan ini aku berdoa untuk kalian. Apalah yang dapat kukirimkan sebagai pamitan dan bekalan… Aku masih tertahan menunggu giliran, menanti panggilan. Aku rindu, tetapi apakan daya, layangan jiwa ini masih perlukan sayap yang nyata. Itu aku tak punya.

Untuk mu tetamu-tetamu Allah, sudi apalah kiranya menatap puisiku walau sekilas cuma. Doaku untuk mu semua. Dan mana tahu, seorang darimu sudi mendoakan aku… pengemis cinta-Nya yang masih terbelenggu ini.

Pergilah saudara-saudaraku, pergilah menuju Allah. Jika cinta kita SATU… pasti satu ketika kita akan bertemu juga di situ. Di Kaabah itu! Tataplah pusi ini (yang ku tulis sejak lama dulu)…

KEMBARA CINTA SUDAH BERMULA...

Pergilah tetamu Allah
Pergilah menuju Allah…
Pergilah membawa hatimu yang pasrah
Tiada lain yang kau cari
Kecuali kasih-sayang Ilahi

Haji ertinya menuju…
menuju Allah yang satu
Namun jalan cinta itu penuh sembilu
Kan bertandang ujian beribu liku
Merintang diri dan hati
Kerna setiap cinta itu pasti diuji…
Apakah sejati atau ilusi.

Sebelum melangkah mulakan muhasabah
Bagaimana belanja kita ke sana?
Apakah keringat sendiri yang mengalir?
Apakah dari sumber yang bersih?
Apakah dari pekerjaan yang baik?
Tanpa penipuan, tanpa penzaliman
Hasil usaha ‘halalan taiyiban?’Kemudian muhasabah pula diri kita seikhlasnya
Leburkan mazmumah semampunya
Hasad, dengki, marah, bakhil ditekan sekuatnya
Mensucikan hati di pohon keampunan
Minta kemaafan dari manusia
Mohon taubat segala dosa…
Barulah nanti terlerai rantai di hati
Terasa ringan melangkah kaki!

Pakaikan kain ihram di tubuh
Serah diri seluruh…
Pangkat, derjat, bintang dan gelaran meluruh
Kini kita hanya seorang hamba
Yang benar-benar hina di hadapan-Nya

Datanglah bagaikan hamba tawanan
Yang bertelut gementar… menanti hukuman
Labaiklallah humma labaik!
Hambamu datang ya Allah…
Dengan hias rohani
Di cermin matahati katakan pada diri:
Aku tidak punya apa-apa
Harta, keluarga dan milik Mu jua
Asalku hanya dari titisan air yang hina …
Jahil, miskin, lemah dan tidak berdaya…
Namun Hambamu datang jua ya Allah…
Labaikallah humma labaik
Aku datang wahai Tuhan
Aku datang… menyahut panggilan

Tuluskan niat kita ketika memulakan
Haji ini, ibadah ini…
Bukan untuk ihsan manusia
Bukan lanjutan urus niaga
Pun bukan kerana riak dan bangga
Tetapi benar-benar kerana kita hamba
Yang mengharap wajah dan keredhaan-Nya

Niat yang suci itu perisai hati
Menangkis kelalaian sepanjang destinasi
Ikhlas itu sangat maknawi
Namun kesannya zahir pada diri

Ikhlas melahirkan sabar…
Sabar kita dengan karenah insan
Demi mengharapkan rahmat Tuhan
Ikhlas melahirkan syukur…
Syukur dengan ruang yang sempit
Demi mengharap keampuan yang melangit

9 Zulhijjah…wukuf di Arafah
Dalam himpunan terbesar gambaran Mahsyar
Tiada bezanya derjat dan pangkat
Yang kaya atau melarat
Semuanya tenggelam dalam dalam zikir dan munajat

10 Zulhijjah… bermalam di Mudzalifah
Talbiah, tasbih dan selawat
Bangsawan, hartawan, marhein dan miskin
Segalanya sama seputih kain
Moga-moga perrhimpunan ini menginsafkan
Hanya taqwa… nilaian Tuhan

Tuhan tidak menilai rupa
Tuhan tidakmenilai harta
Tuhan hanya menilai hati
… hati yang bertaqwa kepada-Nya

11, 12, 13 Zulhijjah…
bermalam di Mina melontar 3 Jamrah
Genggam butiran batu itu dengan tangan kita
Tapi lontarkan ia dengan satu rasa
Di Jamrah itu kita perangi musuh Allah
Simbolik satu kebencian
Metafora sebuah peperangan
Melawan syaitan dalam kehidupan
Nyahkan ia jauh-jauh…
Perangi ia sungguh-sungguh…
Usah berpaling lagi
Pada bujukannya… kita tak sudi!

Nun di sana kelibat Kaabah mula menyapa
Rindu tiba-tiba semakin membara
Hati hiba tanpa diminta
Tanda disedari mengalir air mata kita
Oh! situ pernah melutut Ibrahim
Di situ pernah sujud Ismail
Dan di situ pernah menangis Muhammad SAW
Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali…

Bagaikan ‘melihat’ wajah Allah
Di hitam warnanya ada nur kesucian
Langkah kian cepat… kian mendekat
Tawaf, tawaf, tawaf tujuh pusingan
Tiga pertama bagaikan lari dari dosa…
menuju pahala
Empat yang kedua lepas dari kesalahan…
menuju pengampunan

Lambaian istilam tanda kerinduan
Dikucup tangan tanda kecintaan
Tuhan cintaku hanya pada-Mu…
Walaupun cinta itu sering terganggu!

Bawalah hati yang lara di Safa dan Marwah
Saie ke sini ke sana bagai seorang sandera
Cemas bila dirasuk azab…
Tenang seketika dibujuk harap…
Ke sana khauf…
ke sini raja’…
Bimbang tenang berulang datang
Bagai gelombang tanpa tepian

Oh! Tuhan siapakah diriku
pada pandangan-Mu?

Kepalamu kau cukur
Helaian rambutmu pun gugur
Luruh bersama simbolik dirimu yang lalu
Kini bangun dirimu yang baru

Bukan sekadar membunag setipis rambut…
tetapi mengungkai fikiran yang berkabut
Bukan sekadar membersih kepala…
tetapi hakikatnya menjernih minda

Itulah rahsia tahallul
Meninggalkan diri yang kotor
Hijrah ke dunia yang luhur!

Di Madinah… di masjid Nabawi
Hati kita kan tersentuh oleh imbauan azannya
Terbayang sejarah anak yatim yang kesepian
Terbayang gembala kecil di padang pasir
Luka kakinya di Taif
Hilang kesayangannya di Badar
Gugur giginya di Uhud
Atap rumahnya dicecah jari
alas tidurnya berbekas di badan

Sujudlah, bertelekulah di situ
Tunduk malu di makam nabi
Di sana tersimpan jasadnya yang mulia
Rasul yang tak pernah jera berkorban…
Demi umatnya
Tega baginda pada semua derita

Hayatilah betapa malunya Rasul di Masjid Qiblatain
Ingin merayu tapi lidahnya kelu
Qiblat itu hak Tuhan…
tak layak dirinya memohon pertukaran
Namun Tuhan Maha Mengetahui resah di hati Rasululah
Lalu beralihlah qiblat dari Masjidil Aqsa… ke Baitullah
Rintihan Rasul-Nya terjawab sudah

Di Badar kita diajar bertawakkal
Betapa golongan sedikit bisa mengalahkan golongan yang ramai
Tetapi bila disiplin robek godaan harta
Uhud mengingatkan kita pada sebuah alpa
Pada batu-batu yang terdampar di kuburan Baqie
Terimbau deretan sahabat bagaikan bintang di langit

Terlalu banyak hikmah dalam kembara ini
Jika segalanya dilihat dengan matahati
Jiwa akan kukuh disepuh iman
Akal akan bersih disuluh iktibar
Fizikal akan kuat menempuh kesusahan

Haji kemuncak ajaran Islam
Haji kemuncak mehnah dan ujian
Padanya tersimpan rahsia kekuatan
Sudahkah terserlah apa yang tersimpan?

Bertamu tak jemu…
Berpisah tak gelisah…
Kenangan di Makkah dan Madinah
Adalah bekal safar abadimu…
bertemu Allah!
asalkan hati kita putih 9/11/09
"Mak, Kenapa adik tak ada ayah? Kenapa ayah tinggalkan adik?"

Emak bingung, soalan itu sering adik ungkapkan. Macam mana emak nak jawab. Adik faham ke kalau emak katakan yang emak dan ayah dah berpisah dan ayah dah kahwin lain. Nanti adik mesti tanya Kenapa emak dan ayah berpisah? Kenapa emak dan ayah Ee tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Najlah tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Fifi pun tak berpisah? Kenapa mesti emak dan ayah adik berpisah? Emak usap kepala adik.

"adik, ayah tak tinggalkan adik, ayah ada, satu hari nanti ayah balik.." emak pujuk adik lembut-lembut. Adik senyum, tak sabar rasanya nak menunggu 'satu hari' itu. Selama ingat adik, adik Cuma lihat wajah ayah di gambar yang tergantung dibilik emak. Penat adik menggelamun, akhirnya adik terlelap.

Sedar saja adik dengar laungan azan subuh. Merdu dan mendayu-dayu. Adik bingkas bangun. Lama adik termenung. "sedapnya…satu hari nanti adik pun nak nyanyi nasyid macam tu.." adik tersengih dibelakang emak yang sudah siap bertelekung.

"itu bukan nasyid sayang, itu azan, laungan untuk menyeru semua umat islam menunaikan solat", emak membetulkan pengetahuan adik.

Emak memimpin adik ke bilik air. Emak mengajar adik berwuduk. Mula-mula adik kena basuh tangan. Moga-moga dosa-dosa kecil yang dilakukan oleh tangan gugur bersama air sembahyang. Lepas tu adik berkumur dan begitulah seterusnya.

Adik cari telekung, nak pakai cantik-cantik macam emak pakai. Emak tersenyum, tapi adik lelaki..

Emak mengajar adik bersolat. Bila selesai, adik tersenyum.

"mak, mesti Tuhan sayang kat adik kan?" emak menggangguk. "mesti lepas ni Tuhan bagi balik ayah kat adik kan?" emak mengangguk lagi. Adik tersenyum puas. Wahh..Tuhan sayang kat adik, Tuhan tak sayang kat Ee, Tuhan tak sayang kat Najlah, Tuhan tak sayang kat Fifi. Tuhan sayang kat adik seorang saja. Adik tersenyum bangga.

Pagi itu, seperti biasa adik ikut emak menjaja kuih. Keliling kampung adik berjalan mengikut emak. Ketika emak berhenti di kedai Long Gayah meletakkan kuih muih, adik berlari mendapatkan Ee, Najlah dan Fifi yang sedang bermain di tepi longkang.

"nak main jugak," adik tersengih menegur kawan-kawannya. "boleh, tapi kami main rumah-rumah. Najlah jadi emak, Fifi jadi kakak.Adik jadi ayah ye.." Najlah memberi cadangan. Adik tersengih dapat jadi ayah. Tapi macam mana nak jadi ayah, Adik tak tau apa peranan ayah.

"tak boleh…tak boleh..Adik tak boleh jadi ayah, sebab Adik tak ada ayah. Biar Ee jadi ayah, Ee ada ayah..", Ee mula memberontak. Adik sekadar menggangguk. Jauh disudut hatinya, Adik sedih. Adik nak menangis, tapi cepat-cepat Adik teringat, pagi tadi Adik solat subuh, Tuhan sayang kat Adik, Tuhan tak sayang kat Ee.

"Adik jadi mamak roti, sebab Adik hitam macam mamak roti," Ee memberi cadangan. "Adik tak mahu jadi mamak roti, Adik nak jadi orang laung azan".
"mana boleh!" Ee memberontak. Ee tolak Adik. Bedebukkk!! Adik jatuh ke tanah. Adik tak mengalah, Adik bangun tolak Ee kuat-kuat. Bedebukkk!!! Ee jatuh. Ee menangis teresak-esak.
"Ee bagitau kat ayah!" Ee gertak Adik. Adik diam. Adik nak bagitau siapa? Adik hanya boleh bagitau emak, tapi emak Adik tak boleh lawan ayah Ee. Ayah Ee kuat.

"Adik bagitau mak!" Adik melawan.
"ayah Ee kuat, mak Adik tak kuat!" Ee mengamuk
"Adik Bagitau Tuhan! Mak kata Tuhan kuat tak ada siapa boleh lawan Tuhan!" Adik berlari meninggalkan Ee termanggu sendiri.

Adik menangis teresak-esak.

"Kenapa?" soal emak lembut.
"mak, Kenapa adik hitam macam mamak roti?"
"mana ada hitam, kulit adik kan sama macam kulit mak.., kalau Adik hina kulit Adik maknanya Adik hina kulit emak juga, Tuhan marah tau.." Emak memujuk Adik. Memanglah kulit Adik macam kulit emak sebab emak, emak Adik dan Emak bukan orang melayu, Emak orang bangsa lain. Emak tinggalkan keluarga dan amalan nenek moyangnya demi sayangkan ayah. Sebab itu, emak tak pernah membenci ayah biarpun ayah meninggalkan emak sendiri. Kerana ayahlah, emak kenal agama Islam. Kerana ayahlah emak kenal Allah. Kerana ayahlah emak keluar dari kegelapan. Dan kerana ayahlah, emak ada Adik. Biarlah ayah tinggalkan emak tapi emak tidak akan meninggalkan Allah. Allah Yang Satu.

"mak, Kenapa Adik tak ada ayah?"
Emak pening. Soalan itu lagi diulang-ulang. Emak Cuma diam merenung tanah.
"Adik..," Long Gayah menghampiri Adik dan Emak.
" walaupun Adik tak ada ayah, tapi Adik ada emak, betul tak?, Emak boleh jaga Adik lebih baik dari ayah Ee jaga Ee, kan??", Long Gayah pujuk Adik. Airmata Adik disapu. Wajah Adik dielus lembut. Kepala adik diusap penuh kasih sayang.
"mungkin kalau Adik ada ayah, Adik tak ada emak. Mana satu adik nak", Long Gayah sambung lagi.
"Adik nak dua-dua sekali", jawab Adik tersekat-sekat.
Long Gayah terdiam. Tak tau nak jawab apa lagi. Adik ternganga menanti jawapan Long Gayah.
"Adik tau ayah tak sayang Adik, tapi Adik tau Tuhan sayang Adik sebab Adik sembahyang subuh pagi tadi, kan Long?"

Long Gayah mengangguk. Tersenyum dengan linangan airmata. Berlinang airmata mengenangkan Adik, anak kecil yang terlalu rindukan kasih ayah. Mengenangkan emak, saudara baru yang ditinggalkan terkontang-kanting menempuh ranjau hidup sendirian. Mengenangkan segala-gala rencah hidup manusia zaman sekarang. Memikirkan bagaimana agaknya emak akan membesarkan Adik untuk menjadi seorang muslim sejati.

"Adik nak balik, Adik nak sembahyang subuh lagi, nak sembahyang banyak-banyak kali, biar Tuhan sayang Adik banyak-banyak." Lamunan Long Gayah terhenti dengan suara kecil Adik. Long Gayah ketawa kecil dengan teletah Adik. Adik mengheret tangan emak. Nak balik rumah lekas-lekas.

Sedang Adik dan emak mahu melintas jalan, sebuah kereta menderu laju memintas lalu berhenti betul-betul dihadapan emak dan Adik. Adik kaget. Emak memeluk Adik erat-erat. 3 lelaki berkulit lebih kurang emak keluar dari kereta. Dengan wajah garang, suara garang dan segala-gala garang, 3 lelaki berkulit lebih kurang emak mengheret emak masuk ke dalam kereta. Emak menjerit dan meronta dengan bahasa yang adik tak faham. 3 lelaki itu juga turut bercakap dalam bahasa yang adik tak faham sepatah haram. Dengan kudrat yang ada, emak melawan bersungguh-sungguh. Adk menangis dalam pelukan emak. Rangkulan emak makin erat. Raungan Adik semakin kuat. rasa takut, marah dan benci dengan 3 lelaki itu menyerang seluruh jiwa Adik. Allah Maha Penyayang.

Ketika itu Adik nampak Long Gayah berlari keluar dengan batang penyapu ditangannya. Ayah Ee turut serta sambil menggenggam parang panjang. Dibelakangnya diikuti beberapa orang pakcik yang sedang makan digerai Long Gayah.

Apalagi, 3 lelaki berbahasa pelik itu membuka langkah seribu meninggalkan emak terjelepok ditanah. Emak menangis teresak-esak. Merintih-rintih dalam bahasa yang Adik tak faham. Adik menendang-nendang angin melepaskan geram pada lelaki yang menyebabkan emak bertukar bahasa itu. Hampir sejam emak mengumpul kudrat untuk pulang ke rumah.

Adik tanya emak siapa lelaki berbahasa pelik itu. Tapi emak tak jawab. Long gayah tanya, emak jawab pula. Emak kata mereka mahu emak balik. Balik ke mana? Balik ke pangkuan keluarga dan amalan asal nenek moyang emak. Mereka mahu emak meninggalkan cahaya Allah. Emak bertekad tidak akan meninggalkan agama Allah. Tidak akan meninggalkan cahaya Allah yang sentiasa menyinari hidup emak.

"kalau ada ayah, mesti ayah lindungi kita kan emak..," Adik merungut lagi.
"Tak apa Adik, Allah ada, Allah akan lindungi kita, Allah lagi kuat dari ayah"
Adik menggangguk lemah. Emak merangkul Adik dengan penuh kasih sayang.
"Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih
Adik, biarlah hidup kita miskin, asalkan amal ibadat kita kaya
Adik, biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasihkan kita.."
Adik terlelap dipangkuan emak.

"Adik..bangun", Adik terkejut apabila emak menepuk-nepuk tubuh adik. Kenapa emak kejut Adik? Adik tak dengar pun azan subuh. Yang adik dengar hanyalah bunyi pintu kayu rumahnya diketuk bertalu-talu. Emak mencium Adik bertalu-talu, kelam kabut Emak menolak tubuh adik masuk ke bawah katil. Berkali-kali Adik tanya Kenapa, tapi emak tidak menjawab. Emak pesan kepada Adik supaya tidak keluar selagi Emak tak panggil. Adik menggangguk.

Selepas itu, Adik tak nampak apa yang berlaku. Yang Adik dengar hanyalah suara lelaki bercampur baur dengan tangisan emak. Sekali lagi mereka berbicara dalam bahasa yang Adik tak faham. Yang Adik dengar hanyalah suara Emak menyebut kalimah Allah. Itu sahaja yang Adik faham.

"Allah..Allah..Allah..." emak terus menyebut kalimah itu biarpun suara lelaki berbahasa pelik itu menjerit menenking kepada emak. Emak terus menyebut kalimah suci itu tanpa rasa gentar.
Adik menggigil dibawah katil. Adik nak keluar, nak tengok apa yang berlaku pada emak. Nak tolong emak. Adik kan lelaki! Tapi Adik ingat pesan emak. Adik perlu patuh kepada emak, kalau tidak Tuhan marah.
"Allahuakbarrr!!!!!!!!!!!!" suara jeritan emak memecah suasana. Adik menggigil lagi. Adik cuba mengamati apa yang berlaku.
"Allah...Allah...Allah.." kalimah suci itu kedengaran semakin perlahan. Lama kelaman Adik tak dengar lagi kalimah itu. Suara emak telah terhenti.

Begitu juga suara lelaki-lelaki berbahasa pelik. Kenapa emak diam? Adik terus menunggu emak memanggil Adik keluar. Menunggu dan terus menunggu.

Sehinggalah, laungan azan subuh kedengaran. Adik serba salah. Tapi Adik perlu keluar untuk sembahyang subuh supaya Allah sayang Adik. Mahu tak mahu, Adik merangkak keluar. Ketika Adik teraba-raba, tangan Adik tersentuh cecair. Adik diam. Seingat Adik, Adik tak tumpahkan air semalam. Adik tersengih, mungkin adik kencing malam. Habislah emak marah Adik. Adik merangkak berhati-hati.

Tatkala adik mengangkat kepala, Adik kaget lagi. Didepannya, tubuh emak kaku berlumuran darah dengan pisau panjang tercacak didadanya.

Namun Al-Quran di tangan emak, tetap erat digenggamannya.
Dunia Adik terasa berpusing, gelap.masa terhenti. Emakkkkk!!!!!!!
Laungan Adik memecah keheningan subuh.

"Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih
Adik, biarlah hidup kita miskin, asalkan amal ibadat kita kaya
Adik, biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasihkan kita.."

Selepas ini tak ada lagi emak yang akan wudukkan Adik. Tak ada lagi emak yang akan bentangkan sejadah untuk Adik. Tak ada lagi emak tempat Adik mengadu dan tak ada lagi emak, satu-satunya manusia dalam hidup Adik. Adik memandang sayu pusara emak melangkah longlai meninggalkan harum seroja yang seharum kasih emak pada Adik.

* I M B A U A N K E N A N G A N *
sumber; http://antaracitadancinta.blogspot.com/2009/08/berlinangan-air-mataku.html
tazkirah >>iktibar & pengajaran 8/11/09
Menurut majalah MANAR ISLAM, pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walau pun tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis
tersebut sangat menjolok mata.

Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan dari pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya. 'Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan lia r kaum lelaki......' nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan mengejek. 'Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?' Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata kata yang lebih dahsyat. 'Ambil hanphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahannam untukku,' katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawasanya dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan dari si gadis manis. Sayang wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis yang masih muda i tu yang tidak menghormati hukum hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi. Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian.

Gadis seksi bermulut celupar tersebut di dapati tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri... Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis... Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu.

Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat.

Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu. Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Nauzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan ikhtibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati. Jangan sekali sekali kita mempertikaikan hukum Allah dan mahupun sunnah RasulNya saw dengan mempersendakan atau ejekan.

Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam. Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi bagi kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh.. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul alamin. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan. Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang di lakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu hingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang itu. Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang menjadikan bumi ini.

Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah swt. Taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini. Sama-samalah kita memohon agar Allah swt sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan kekuatan
agar sentiasa dapat menjaga lidah kita.

*Dipetik dari majalah Iskandariah Mesir *MANAR ISLAM*
pentingnya bacaan Al-fatihah yang betul (00,) 6/11/09
PENTINGNYA BACAAN YANG BETUL DALAM AL-FATIHAH

Membaca al-fatihah adalah satu rukun dalam solat,apabila cacat bacaanya maka rosaklah solat.oleh itu perbaikilah bacaanya dengan ilmu tajwid,bukan setakat bacaanya saja rosak malah kita menyebut nama syaitan di dalam solat kita.


Berikut diperuntukan nama syaitan laknat yang wujid di dalam al-fatihah,sekiranya kita tidak berhati-hati.

NAMA SYAITAN;

1.DU LI LAH ( bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya DULILLAH.

2.HIR ROB (bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya HI ROB.

3.KIYYAU (bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya KI YAU.

4.KANNAK (bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya KA NAK.

5.KANNAS (bila dibaca tiada sabdu ) sepatutnya KA NAS.

6.IYA ( dibaca tanpa sabdu ) sepatutnya IYYA..IYYA bermaksud matahari.
Dalam ayat ke-5 ,jika salah bacaanya akan bermaksud kepada matahari kami sembah dan kepada mataharilah kami meminta pertolongan"!!!!!!!!

7.SIROTOL LAZI...sehingga habis hendaklah di baca tanpa henti.

8.AMIN...hendaklah mengaminkan al-fatihah dengan betul iaitu AA..dua harakat,semoga AMIN kita bersamaan dengan AMIN MALAIKAT insyaALLAH.semoga kita menjadi orang yang sentiasa membaiki bacaanya.

kesalahan-kesalahan lain dalam surah al-Fatihah:

a) Alehamdulillah (seolah-olah bunyi 'le')...sepatutnya dibaca, Alhamdulillah....
b) malikiyau-middin...sepatutnya dibaca, maalikyau-middin ( 'maa' = dua harakat)
c) siro-thol-lazi na a'n a'm...sepatutnya dibaca, siro-thol-lazi-na an a'm...( perhati dlm Quran, yang pertama adalah huruf alif
(ا) , yang kedua baru huruf ain (ع)..bunyi alif berbeza dengan bunyi ain..)

PERHATIAN......
SEBARKANLAH HUKUM ALLAH WALAUPUN SATU AYAT SEMOGA KITA MENDAPAT RAHMATNYA...
air mata keinsafan 5/11/2009
Kenapakah begitu susah untuk aku mengubah diri ini agar menjadi insan
berguna pada mata Ilahi?
Kenapa begiru sukar diri ini untuk menerima segala kebenaran yang diajarkan padaku?
Begitu hitamkah hati ku ini?
Begitu menggunungkah dosa diri ini?
Layakkah aku untuk meminta ampunanMu ya Allah?
Masih adakah ruang untuk hidayahMu bertapak dalam ruangan hati hitam ini ya Allah?

Kenapa begitu susah diri ini untuk mengalirkan air mata
apabila disebut nama yang Maha Esa…?
Kenapa begitu berat air mata ini untuk mengalir mendengar nama Rasulullah s.a.w?
kenapa begitu jauh diri ini jika dibanding dengan para pejuang Islam yg lain?
Aku jua muslim yang sama-sama ingin melihat kebangkitan Islam….
Aku jua muslim yang bersama-sama melawan arus jahiliyah..
Tapi diri ini tetap ku rasakan masih sungguh jauh untuk
menghampiri gerbang syurga-Mu ya Allah……
Tapi aku tidak sanggup dengan siksaan api neraka-Mu...

Ya Allah……
Hinanya diri ku ini ya Allah…
Kotornya diri ku ini ya Allah…
Jijiknya diri ku ini ya Allah…
Berilah hidayah padaku ya Allah…
Janganlah Kau tinggalkan aku walau sesaat…
Pimpinlah aku dalam setiap detik perbuatanku…
Aku tidak sanggup jika Kau berpaling dari memandang diri ini…
Tidak sanggup ya Allah….
Segala-galanya aku berserah pada Mu…
Aku tidak apat membayangkan diriku tanpa pimpinan-Mu ya Allah…
Aku tidak sanggup menjadi sehina-hina manusia pada pandangan-Mu…
Astaghfirullahalazim…
Ampunilah aku dalam setiap kejahilan dan kelekaanku….
Hanya pada Engkau aku bergantung dan mengharap segala-galanya…

Air mata membasahi pipi….
Adakah ini air mata keinsafan???
Ini adalah air mata kehinaan yang melanda diri ini…
Diri ini sedih dengan apa yg telah hambaMu ini lakukan….
Aku ingin meminta sesuatu dari Mu..
Tapi aku sungguh malu padaMu ya Allah..

Aku teringat perjuangan Hassan Al-Banna..
Aku sangat mengagumi perjuangan beliau…
Aku mengagumi perjuangan Syed Qutub…
Tapi ya Allah…aku malu ya Allah untuk menyatakannya…
Masih layakkah diri ini menyebut nama Hassan Al-Banna? Nama syed Qutub?
Masih tersisakah pejuang sepertinya untuk diri ini….
Malunya aku ya Allah dengan permintaan ini...
Aku tidak layak memikirkan tentangnya..
Wanita seperti manakah yang Kau pilihkan untuk mereka…?
Wanita yang bagaimanakah yang telah Kau pilih untuk melahirkan mereka?
Semestinya seperti Zainab Al-Ghazali dan mereka yang seangkatan dengan beliau…
Aku ingin sekiranya boleh mendampingi orang-orang sekaliber mereka.
Seorang yang hidupnya semata-mata untuk Allah.
Mereka tak tergoda rayuan harta dan benda apalagi wanita.

Aku ingin sekiranya boleh menjadi seorang ibu bagi
mujahid-mujahid seperti Hassan Al-Banna.
Masih tersisakah mujahid seperti Al-Banna untukku ya Allah…?
Layakkah diri ini untuk menjadi peniup semangatnya?
Aku sungguh malu menyatakannya ya Allah…
Sungguh hina diri ini…sungguh kotor diri ini…
Sungguh lemah diri ini untuk mujahid seperti mereka…

Air mata ini jika dialirkan hingga titisan terakhir,
namun ia masih tidak mencukupi untuk
menyatakan rasa bersalah dengan dosa-dosa diri ini yang menggunung tinggi...

Ya Allah…..
Pimpinlah daku…
Janganlah Kau tinggalkan aku walau sesaat cuma
Aku tidak sanggup dibiarkan dlm lumpur dosa2 hina….
Ampunilah aku ya Allah….
Astaghfirullahalazim…
Astaghfirullahalazim…
Astaghfirullahalazim…